Kehadiran suami di
rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang
menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana
dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai
lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat
perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah
ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan
suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka
menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan
menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki
meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda
sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami
kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah
suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita
tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku
seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia
menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk
adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba
kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada
sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri.
Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari
ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera
dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari
yang terbaik iaitu hari isnin, Khamis dan Jumaat.
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun
segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan
kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh,
hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera
isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah
kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya
ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung
hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak
mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah
segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu
kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut
akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan
berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya,
sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan
seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi.
Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut
tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak
suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan
hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami
merupakan satu pahala besar ke atas setiap isteri kecualilah jika suami kita
meredhainya.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita
hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan
beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu
amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada
orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya
meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah
perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti
inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami
berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian
supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa
bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang
diredhai oleh Allah swt.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia
minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas
seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya
memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan
seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat
mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi
zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan
keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di
atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di
sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah
dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh
mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan
ibadahnya."
No comments:
Post a Comment